Kerjaya: Salahkah kita memilih?
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Muncul lagi aku kali ini, ingin menulis tentang pandangan aku yang tak seberapa. Memandangkan PKPB dikuatkuasa semula di kawasan Selangor, aku terpaksa 'berkurung' di rumah. Jika tidak, sudah pasti waktu seperti sekarang ini, aku sudah berada di dalam bas menuju ke kampung halaman. Sudahlah, lupakan sahaja. Hadap sahajalah dinding bilik di rumah sewa selama dua hari berturut. Nasib orang bujang. Kalau ada suami, bolehlah hadap muka suami tetapi apakan daya, kewujudan jodoh masih lagi menjadi tanda tanya. Oh, sebelum penulisan aku kali ini melencong, lebih baik aku fokus semula terhadap tujuan utama aku mengarang. Salahkah kita memilih kerjaya?
Aku tahu, isu ini sangat sensasi. Disebabkan dia sensasilah, aku ingin meluahkan pendapat dan pandangan aku. Sebelum hujah-hujahku dicurahkan bagai air hujan yang turun dari langit, lebih baik aku bercerita tentang punca aku terfikir untuk menulis tentang topik ini.
Perkara ini bermula semasa aku sedang khusyuk membuat kerja, bos aku memanggil aku ke biliknya. Aku mula cuak, apa yang ingin dia katakan kepada aku. Aku ada buat salahkah? Atau ada tugasan lain yang ingin dia berikan kepadaku. Dengan pantas kakiku melangkah ke biliknya yang berada bersebelahan bilikku. Aku menjenguk, dia menyuruh aku masuk dan melambaikan tangannya, menyuruh aku melihat ke skrin komputer beliau.
Dia menunjukkan seorang graduan jurusan undang-undang ditemu ramah berkenaan satu program penempatan pekerjaan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Program tersebut diadakan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran yang kian meningkat, tambahan semasa wabak pandemik COVID-19 ini melanda di seluruh dunia. Pada mulanya, aku meragui apa tujuan sebenar bos aku menunjukkan video berkenaan kepada aku. Tidak tahu apa niatnya, aku lihat video berkenaan dengan bersahaja. Belum sempat video itu tamat, dia bertanyakan pandangan aku mengenai video berkenaan.
Soalan yang bos aku berikan kepada aku berbunyi begini.
"Apa pandangan kamu? Kamu rasa okay ke graduan dalam bidang undang-undang bekerja sebagai penyelia bahagian stor."
Aku terdiam sebentar, tak tahu nak jawab apa. Memandangkan sejak 10 tahun kebelakangan ini, aku sering didoktrinasikan dengan 'jangan memilih kerja', maka pandangan awal aku kata, tak apa. Tapi aku tak jawab dengan mulut, hanya dalam hati. Melihat aku hanya memberi jawapan melalui riak wajahku yang dia juga tak dapat tafsirkan, dia menyatakan pandangannya.
Katanya, dia sedih melihat graduan tersebut bekerja dalam bidang yang tidak relevan dengan latar belakang pendidikannya. Ya, dia tahu, mungkin graduan itu susah, perlukan kerja dan pendapatan untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarganya, tetapi, adakah dengan mendapat penempatan pekerjaan itu dapat membangunkan dirinya? Dia biarkan persoalan itu tanpa jawapan.
Belum sempat aku mencelah, ingin melontarkan pandangan peribadi, dia menambah lagi hujahan yang benar-benar ingin dia sampaikan. Ya, usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran memang bagus dan baik. Tetapi dengan memberikan pekerjaan yang tidak relevan dengan latar belakang pendidikan graduan, tambahan dengan upah/gaji yang tidak setaraf dengan taraf pendidikan graduan tersebut, adakah ia cukup? Maksud cukup di sini bukannya cukupkah untuk graduan tersebut 'survive' tetapi adakah usaha itu adalah yang terbaik? Tidakkah ia satu cara mengeksploitasi sumber manusia. Baginya, usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dengan menempatkan pekerja di tempat yang tidak sepatutnya dia berada adalah seperti melepaskan batok di tangga. Cukup sekadar kadar pengangguran dapat dikawal, kesan lain selain itu, tidak diambil peduli.
Kesan? Kesan apa yang aku maksudkan? Baguslah kadar pengangguran dapat dikawal kan? Tambahan, graduan tu dapat kerja. Dia tak merungut, kenapa perlu aku lebih-lebih? Macam lebih sudu daripada kuah.
Okay, pertama, ya, dia dapat kerja, dia ada pendapatan, dia tak menganggur. Baik, aku terima point tu. Sekurang-kurangnya dia bekerja, boleh bantu keluarga dan lain-lain. Tambahan, sekarang ramai yang dibuang kerja, jadi kalau ada kerja, dia patut bersyukur. Okay.
Di sinilah luahan hati yang ingin aku sampaikan. Dulu, aku juga masih terpengaruh dengan 'tak apa, jangan pilih kerja, asal kerja.' Tetapi melihat kepada pembangunan negara yang entahlah, suam-suam suku mungkin, pemikiran aku berubah.
Kenapa kita masih tak dapat mencapai 'Wawasan 2020'? Aku tak nak jawab, sebab aku tak ada jawapan. Tetapi persoalan ini harus difikirkan oleh setiap daripada kita rakyat Malaysia. Salah siapa? Salah kerajaankah? Tidak, ia sebenarnya salah kita.
Sampai bila kita nak bergantung kepada kerajaan? Kita sendiri yang perlu ubah diri kita, cara kita berfikir. Apa macam lari jauh daripada topik aku kat atas tu? Memang lari jauh, jauh sangat sampai aku rasa kena tulis posting lain pasal persoalan ni.
Okay, berbalik kepada isu di atas, tanpa sedar aku mengiyakan pandangan bos aku. Ada benarnya, graduan yang menganggur ini diekploitasi. Demi mengawal kadar pengangguran, tak kiralah kerja apa pun, asalkan graduan bekerja. Pembangunan modal insan ke apa ke, semua tu tak perlu fikir sebab matlamat utama adalah nak kawal kadar pengangguran.
Tadi aku cakap pasal kesan. Okay, sekarang, graduan jurusan undang-undang yang dah menghabiskan 4 tahun pengajian, dan berpuluh ribu ringgit demi menamatkan pengajiannya bekerja sebagai penyelian di stor di sebuah pasaraya. Persoalannya, apakah yang boleh disumbangkannya? Adakah dia boleh memberikan khidmat nasihat perundangan di stor tersebut? Sampai bila dia perlu bekerja sebagai penyelia stor? Apakah tahap laluan kerjaya yang tertinggi boleh dicapainya yang kini bekerja sebagai penyelia stor? Dalam 3-5 tahun akan datang, jika dia ingin menghadiri temu duga pekerjaan bagi pekerjaan yang berkaitan dengan latar belakang pendidikannya sebagai graduan jurusan undang-undang, adakah jawatannya kini relevan dengan jawatan yang ingin dipohonnya? Sejauh mana kepercayaan majikan terhadap bakal pekerja yang telah meninggalkan bidangnya selama 2-3 tahun untuk bekerja dan berkhidmat dengan mereka? Persoalan-persoalan ini jangan kau tanya aku apa jawapannya. Aku dah kata, aku tak ada jawapan tapi kita ada akal, maka fikirlah sendiri.
Sebenarnya kalau nak kupas isu ni, terlalu panjang. Silap-silap aku boleh keluarkan satu buku sebab nak kupas tentang isu ni. Tapi tu lah, aku tulis panjang-panjang, siapa nak baca? Ni aku tulis panjang ni pun bukan ada yang baca. Biarlah ia berkarat kat blog ni. Mana tahu 2-3 tahun akan datang aku baca balik penulisan aku dan aku akan kata 'Ha! Aku dah kata dah'.
Sudahlah, aku pun dah malas nak menulis. Sekian lontaran suara hati yang dicoretkan dalam bentuk penulisan kali ini.
Salam kak, macam mana nak contact akak eh, ada sosial media tak?, saya nka tau pasal degree psikologi ni dan dekat mana boleh kerja bila dah grad
BalasPadam