Psikologi dan Kaunseling itu sama, betul ke?

Assalamualaikum.

Sebelum mengulas mengenai topik pada hari ini, saya terlebih dahulu ingin meminta maaf kerana jarang menulis di blog ini. Kalau dahulu, semangat untuk menulis perkongsian di sini itu sangatlah tinggi tetapi apinya semakin lama semakin terpadam dek kerana kesibukan aktiviti harian saya yang tak berkesudahan.

Akan tetapi, api itu dinyalakan semula dengan komen-komen daripada pembaca yang ingin bertanya lebih lanjut mengenai bidang psikologi ini. Dan topik pada hari ini adalah untuk menjawab pertanyaan daripada komen di post sebelum ini. Beliau bertanyakan kepada saya, apakah perbezaan psikologi dan kaunseling.

Psikologi dan kaunseling, sama atau tidak? Saya rasa, orang diluar bidang ini pasti mempunyai keraguan yang sama. Apa bezanya? Macam sama saja. Tetapi kalau sama kenapa ada dua nama yang berbeza? Jadi, ia tak sama lah? Kalau tak sama, apa bezanya?

Saya yakin jika anda taip di 'Google Search' - perbezaan psikologi dan kaunseling, pasti banyak pautan yang menerangkan tentang perbezaan dua bidang ini. Tetapi memandangkan saya masih bersemangat untuk mengulas tentang perbezaan dua bidang ini, maka akan saya berikan pendapat saya melalui post ini. Saya yakin, ulasan saya akan lebih kurang sama dengan mana-mana penjelasan lain di internet, buku, para pensyarah dan influencer yang berkaitan kerana jika ia adalah fakta, maka ia takkan lari jauh.

Psikologi - telah saya nyatakan ia adalah kajian tentang 'jiwa', rohani, dan minda manusia. Ia merupakan kajian yang mengkaji tingkah laku manusia. Kata kaji jiwa, rohani dan minda, tapi kenapa ada tingkah laku pula? Mestilah sebab jiwa, rohani dan minda tu kita tak nampak, apa yang kita nampak adalah tingkah lakunya. Okay, bahagian ini adalah pendapat saya sendiri. 

Kaunseling pula adalah berada di bawah payung psikologi. Ia merupakan satu proses perhubungan menolong yang sistematik menggunakan atau berasaskan prinsip psikologi. Kalau ikut daripada definisi ini, jelaslah bahawa kaunseling berada di bawah payung psikologi. Kalau orang putih cakap, kaunseling ini adalah 'talking therapy'. Kaunselor akan cuba untuk membantu atau menolong seseorang individu atau klien melalui perbualan atau perbincangan. 

Jadi, course apa yang perlu saya ambil? Psikologi ke kaunseling? Atau tak kesah? Untuk menjawab persoalan ini, saya perlu tanya dulu, matlamat awak nak jadi kaunselor ke nak jadi psikologis? Kerana laluan kerjaya anda yang akan berbeza apabila awak ambil jurusan ini nanti. Jika anda ingin menjadi seorang kaunselor, maka, ambillah jurusan bimbingan dan kaunseling. Tetapi jika anda lebih berminat dengan sub bidang lain di bawah payung psikologi, maka, pilihlah jurusan psikologi.

Jika anda mahu tahu, apakah yang anda bakal pelajari jika anda memilih jurusan psikologi, anda boleh semak semula post saya sebelum ini di sini. Saya telah pun menyenaraikannya. Kalau anda rasa ingin tahu lebih lanjut tentang subjek-subjek tertentu, bolehlah hubungi saya untuk bertanya.

Walaupun berada di bawah payung psikologi, subjek yang bakal anda pelajari jika anda memilih jurusan bimbingan dan kaunseling adalah berbeza. Pada pandangan saya, anda lebih banyak belajar mengenai teori, teknik dan kemahiran dalam kaunseling itu sendiri. Saya kurang arif tentang kaunseling kerana saya hanya belajar 1 subjek sahaja semasa di peringkat ijazah sarjanamuda. Melalui satu subjek itu, saya pelajari teori-teori kaunseling melalui pendekatan yang berbeza. Di samping itu, saya belajar juga teknik dan kemahiran kaunseling namun hanya asasnya sahaja. 

Kaunseling juga punyai banyak cabang. Ada kaunseling individu, kaunseling kelompok, kaunseling keluarga, kaunseling rumah tangga, dan lain-lain lagi. Saya tak mahu mengulas lanjut tentang perkara yang saya tak tahu kerana takut misleading the fact. Tetapi, apa yang saya pasti, jika anda ambil jurusan kaunseling, anda boleh menjalankan latihan sesi kaunseling dan juga memohon untuk mendapatkan lesen sebagai kaunselor berdaftar. Di Malaysia, jika anda ingin mempunyai profesion sebagai kaunselor dan menjalankan sesi kaunseling, anda perlu menjadi kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Peraturan ini hanya termaktub di negara ini sahaja kerana beberapa negara lain membolehkan lulusan jurusan psikologi psikologi menjalankan sesi kaunseling bersama klien.

Pandangan peribadi, jika di Malaysia, jika anda ingin mempunyai peluang kerjaya yang lebih cerah, ambillah jurusan kaunseling dan jadilah kaunselor berdaftar. Ia akan membari nilai tambah kepada anda kerana kebanyakan jawatan pegawai psikologi di malaysia di pegang oleh mereka yang berada dalam bidang kaunseling. 

Tetapi, jangan putus asa dahulu, bidang psikologi juga boleh mendapat peluang kerjaya yang meluas. Anda bebas untuk bekerja dalam kerja-kerja yang melibatkan pengurusan manusia. Dan jika anda berminat sangat dengan penyakit-penyakit mental, sila pilih untuk menyambung bidang psikologi dan lanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dalam psikologi klinikal. 

Saya sejujurnya berharap agar bidang psikologi diterima meluas di Malaysia ini. Melalui post ini juga, saya ingin membuka mata orang ramai mengenai psikologi. Janganlah anda ingin bahawa psikologi ini sekadar kaunseling. Tidak, ia lebih daripada itu. Lebih banyak sub bidang lain yang menarik dan berpotensi untuk dikembangkan lagi. Harapan saya, beberapa tahun akan datang, akta bagi melindungi profesion psikologi ini diwujudkan bagi melindungi bidang kami. 

Motivator bukan psikologis
Kaunselor bukan psikologis
Psikologis adalah psikologis.

Sekian daripada saya. Terima kasih sudi membaca.

Ulasan

  1. Anak...maaf pakchik lagi ni...nak PM anak...nak tanya tentang bidang ini..pakchik belajar semata utk ilmu dan tidak berniat utk berkerjaya..whatsapp pakchik di no 0169402348.pakchik bakal pelajar bidang ini..inshaAllah

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Psikologi di UKM. Belajar apa ye?

Dilema jurusan Psikologi.

Awak student Psikologi? Please don't read my mind! - updated