Gagal dapat UPU: adakah bermakna gagal dalam hidup?

Assalamualaikum semuanya!

baru-baru ni, pelajar lepasan SPM baru mendapat keputusan UPU, sama ada mereka mendapat tawaran untuk sambung belajar ataupun tidak. Dalam situasi pandemik yang melanda seluruh dunia ini, waktu kemasukan ke IPT ditangguhkan daripada waktu yang sepatutnya. Tak mengapalah, saya tak nak kupas isu ini kerana bukan kepakaran saya.

Tahniah kepada yang mendapat tawaran untuk sambung belajar. Teruskan usaha anda. SPM cemerlang bukannya pengkahiran, ia baru permulaan, jadi kekal fokus dan capailah cita-cita anda.

Kepada yang tidak berjaya, tahniah juga. Anda telah melalui salah satu peperiksaan paling sukar dalam hidup. Ucapkan tahniah pada diri anda, hargai usaha yang telah anda taburkan. Tidak mendapat tawaran ke IPT bukanlah bermakna anda tak dapat sambung belajar selamanya, masih ada jalan dan cara untuk anda dapatkan tempat di IPT. Jumpa dengan kaunselor sekolah anda. Minta mereka untuk beritahu bagaimana caranya untuk dapatkan tempat di IPT. Permohonan rayuan, mohon di IPT swasta yang berkredibiliti (buat kajian dulu sebelum memohon) dan juga cari alternatif lain seperti kolej berasaskan kemahiran dan lain-lain. Anda boleh juga bertanya kepada mereka yang pernah mengalami jalan yang sama seperti anda.

Baiklah, sekarang, baru saya nak sampaikan tentang isu yang menjadi tajuk post kali ini. Gagal dapat UPU, adakah ia bermakna gagal dalam hidup? Seisapa sahaja akan menjawab tidak. Termasuk saya. Saya ada kongsikan post Aiman Azlan di FB. Kemudian saya ulaskan mengenai 'cari definisi kejayaan sendiri'. Adakah itu bermakna saya menyuruh anda untuk berhenti daripada sambung belajar dan pergi bekerja mencari duit?

Sudah pasti tidak. Tujuan saya suruh mencari definisi kejayaan itu adalah disebabkan pemikiran yang sudah diacukan kepada kita bahawa kejayaan hanya akan dicapai di menara gading. Jadi, ramai yang menganggap, jika dapat sambung belajar, bermakna mereka sudah berjaya. Secara tak langsung, mereka yang tak dapat sambung belajar akan rasakan yang mereka telah gagal. 

Saya ingin ubah tanggapan ini. Jika dapat sambung belajar, anda hanya berjaya untuk teruskan belajar. Titik. Full stop. Tetapi, adakah bermakna anda akan berjaya? Terpulang kepada anda. Tetapi, daripada ramai-ramai yang sambung belajar itu, adakah anda mendapat kursus yang anda benar-benar berminat dan mahukan, atau sekadar dapat sambung belajar? Ya, anda mungkin akan jatuh cinta terhadap kursus yang ditawarkan kepada anda setelah anda mendalaminya (macam saya), tetapi ada juga yang belajar kerana terpaksa dan akhirnya, apa yang terjadi, ...

Jadi, apa yang saya maksudkan dengan cari definisi kejayaan anda adalah letakkan satu atau dua atau tiga matlamat dalam hidup anda sebagai definisi kejayaan anda. Jika definisi anda untuk mencari ilmu, teruskan, sambunglah belajar. Tetapi, ada orang matlamatnya berbeza. 

Saya berikan contoh, saya adalah di antara mereka yang lambat tahu definisi kejayaan bagi saya. Saya belajar kerana saya rasa di umur saya, saya seharusnya belajar. Dan selepas tamat belajar, saya tak tahu nak buat apa. Ya, semua orang akan berkata, pergilah cari kerja. Cari duit, dan berjaya. Tetapi bagaimana kalau saya tak begitu materialistik. Saya tak rasa kejayaan itu diletakkan pada nilai wang. Saya pernah bekerja, tapi saya tak rasa pun kejayaan tu. Jadi saya semak semula definisi kejayaan saya.

Kemudian persoalan-persoalan kalaulah tiba di minda. Kalaulah aku sambung perakauan dulu, mesti aku dah berjaya, kalaulah aku jadi doktor, mesti aku dah berjaya, kalaulah aku ambil kemahiran dulu, mesti aku dah berjaya. Dan saya pandang orang di sekeliling saya. Ada di antara mereka yang lepasan SPM sudah ada empayar perniagaannya sendiri. Ada di antara mereka yang keputusan SPM biasa-biasa, sudah pun punya pekerjaan tetap. Mereka suka dengan apa mereka lakukan. Mereka lakukan sebab minat. Mereka lakukan sebab itu adalah passion mereka. Mereka lakukan dengan bersungguh-sungguh dan mereka berjaya.

Saya lihat diri saya, apa minat saya? Apa passion saya? Saya suka menulis, dan menulis memberikan kebahagiaan dan kepuasan buat saya. Adakah saya sudah berjaya? Ya kerana definisi berjaya saya adalah bahagia dan puas dengan apa yang saya lakukan. Sekarang, ia masih belum membuahkan hasil. Saya juga masih baru belajar untuk kembali menulis. Sudah saya katakan, saya lambat tersedar. 

Jadi, cari definisi kejayaan anda sendiri. Sebelum itu, cari minat, kebolehan, bakat dan kemahiran anda yang benar-benar boleh menjadi penjana untuk anda menuju kepada kejayaan anda. 

Maaf, post kali ini panjang dan membosankan. Tiada gurau senda kerana saya menulis dengan penuh emosi. Di umur 27 tahun, saya baru sedar akan semua ini. Saya masih lagi dalam fasa 'peperangan' dengan tanggapan masyarakat. Saya ingin buktikan bahawa tak punya kerja tetap juga boleh berjaya. Doakan saya terus bersemangat untuk menulis, berikan inspirasi kepada orang lain, dan doakan juga semua ini akan membuahkan hasil.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Psikologi di UKM. Belajar apa ye?

Dilema jurusan Psikologi.

Awak student Psikologi? Please don't read my mind! - updated